PERUTUSAN LAMAN WEB DBKU
YANG BERBAHAGIA DATU HAJI JUNAIDI HAJI REDUAN,
DATUK BANDAR KUCHING UTARA
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan…
Syukur Alhamdulillah kita telah pun memasuki tahun baharu 2021. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada seluruh wargakota Kuching.
Mengimbas sedikit pengalaman kita sepanjang tahun 2020, tentu ramai antara kita yang masih terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. Namun, apa yang ingin saya tekankan di sini bahawa sehingga ke detik ini, barisan hadapan DBKU sentiasa dalam keadaan bersedia pada bila-bila masa sekiranya penularan Covid-19 semakin membimbangkan. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh wargakota Kuching atas sokongan dan kerjasama yang diberikan terhadap barisan hadapan DBKU dalam mengatasi penularan wabak ini.
Pada masa yang sama, dalam usaha kita untuk menjadikan Bandaraya Kuching sebagai Bandaraya yang Terbersih, DBKU kini lebih memfokuskan aspek kebersihan dan persekitaran yang kondusif. Jika suatu masa dahulu Kuching pernah dinobatkan sebagai Bandaraya Terbersih di Rantau Asia Pasifik, kini tibalah masanya untuk kita semua mengembalikan kegemilangan itu dengan bersatu hati dan saling bekerjasama bagi memastikan tahap kebersihan bandaraya Kuching berada di kedudukan yang teratas di rantau ini.
Di samping itu, fokus utama DBKU juga adalah untuk memastikan Bandaraya Kuching sebagai sebuah bandaraya yang Cantik dan Selamat untuk didiami dan dikunjungi.
Penglibatan wargakota dan komuniti setempat pula terutamanya Kejiranan Mesra DBKU (KJM) terus diutamakan dalam membantu DBKU untuk mewujudkan bandaraya yang berjiwa dan dinamik baik dari aspek sosial mahupun budaya.
Selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadikan Kuching sebagai bandaraya pintar setaraf bandaraya maju lain di dunia, maka pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan bagi pembangunan bandaraya. Antaranya adalah melalui pembangunan LED Street Lighting, Smart Traffic Light untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, e-DBKU untuk menambaik operasi dan perkhidmatan DBKU, perancangan beberapa pilot project dan juga pembangunan dari aspek ekonomi digital untuk memberikan yang terbaik kepada warga kota khususnya yang berada di bawah pentadbiran DBKU.
Akhir kata, sama-samalah kita berganding bahu untuk mencapai misi dan visi bagi menjadikan Kuching sebagai Bandaraya yang Cantik, Bersih, Selamat, Smart & Sustaible.
Sekian…
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
#togetherwecare
#kitajagakita
#staysafe
DATU HAJI JUNAIDI BIN HAJI REDUAN
DATUK BANDAR KUCHING UTARA |