PERUTUSAN LAMAN WEB DBKU
YANG BERBAHAGIA DATU HAJI JUNAIDI HAJI REDUAN,
DATUK BANDAR KUCHING UTARA
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan…
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah Yang Maha Esa dan dengan limpah dan kurnianya kita telah berada diambang tahun baharu 2022. Tahun 2021 akan melabuhkan tirainya dan akan sentiasa terpahat disanubari kita segala kenangan terutamanya didalam usaha kita untuk mengekang penularan pandemik covid-19 yang telah masuk tahun ke-2 sejak kes pertama Covid-19 di Sarawak direkodkan pada Mac 2020.
Mengimbas kembali sepanjang tahun 2021, saya percaya dan yakin banyak pengalaman baru serta pengajaran yang telah kita perolehi akan menjadi panduan kepada kita di masa-masa yang mendatang. Dalam pada itu juga, DBKU, seperti tahun-tahun yang sebelumnya, telah mencatat beberapa kejayaan-kejayaan yang wajar untuk disebut sebagai perkongsiaan bersama seluruh warga bandaraya Kuching. Diantaranya adalah memenangi Chief Minister’s Environmental Award (CMEA) 2019 - 2020 yang merupakan kemenangan kali ke-6 sejak anugerah berkenaan diperkenalkan pada tahun 2007. Selain daripada itu, DBKU juga telah mendapat tempat kedua didalam Pertandinagan Innowaste Komuniti anjuran Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sarawak melalui Projek Perintis Worming-Up Pengurusan Sisa Makanan tahun 2020.
Diperingkat kebangsaan pula, kita telah menerima Asian Clean Tourist City Standards Award dan juga menerima penarafan 5 Bintang bagi Sistem Penarafan Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) 2019. Kita juga telah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa apabila diiktiraf sebagai penerima WHO Regional Director’s Recognition Award semasa The 9th Global Alliance For Healthy City Conference (Virtual), Hong Kong dan akhir sekali pasukan DBKU iaitu PROBE telah memperolehi Par Excellence bagi pembentangan secara maya bagi Projek Penutup Parit Mudah Laras di 46th International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Hyderabad, India pada bulan November 2021. Kejayaan demi kejayaan yang kita perolehi membuktikan kemampuan organisasi DBKU dengan sokongan wargabandaraya Kuching untuk mentadbir dan membentuk bandaraya kita agar menjadi sebuah bandaraya yang benar-benar dinamik dan mempunyai dayahuni yang tinggi.
Tahun 2021 juga telah menjadi titik permulaan bagi pelbagai perkara baru yang telah kita perkenalkan bagi mencapai kemajuan yang lestari selaras dengan Sustainable Development Goals. Inisiatif E-DBKU yang telah diumumkan semasa Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching merupakan anjakan paradigma yang akan membawa DBKU lebih kehadapan dalam menyambut cabaran Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak untuk mengetengahkan teknologi digital sebagai wadah utama bagi memajukan negeri yang kita cintai ini. DBKU telah mengenalpasti 3 komponen utama yang akan menjadi teras transformasi digital DBKU dalam tempoh 5 tahun ini iaitu Smart City, Service Delivery dan Innovative Digital Solutions.
DBKU juga telah memulakan Projek Perintis Pengasingan Sampah di Kampung Tunku dan Kampung Malaysia Jaya untuk selama 2 tahun yang saya yakin akan memperolehi kejayaan yang diharapkan. Kejayaan projek perintis itu nanti akan membolehkan ianya di replikasi dikawasan-kawasan lain dan seterusnya meliputi seluruh kawasan DBKU. Ini nanti akan membawa DBKU semakin dekat kepada sasaran umum didalam pengurusan sampah perbandaran iaitu Zero Waste ataupun Sampah Sifar.
Pada tahun 2021 juga, meskipun masih lagi dalam keadaan pandemic Covid-19, DBKU dengan keterlibatan komuniti setempat khususnya jawatankuasa Kejiranan Mesra (KJM) yang mewakili kawasan kejiranan masing-masing telah berjaya menganjur lebih 200 aktiviti-aktiviti komuniti dengan pematuhan SOP yang ketat. Penyertaan komuniti yang tinggi menunjukkan keberkesanan pendekatan DBKU melalui KJM yang mana telah melalui pelbagai transformasi dan pembaharuan sejak dimulakan pada tahun 2001.
Kepada semua wargabandaraya, saya bagi mewakili organisasi DBKU mengucapkan jutaan terimakasih diatas kebersamaan kita bagi menjadikan bandaraya Kuching sebuah bandaraya yang Bersih, Cantik, Selamat, Pintar dan Lestari (Clean, Beautiful, Safe, Smart and Sustainable). Sumbangan dan sokongan setiap individu bandaraya yang kita cintai ini amat kami hargai dan harapan saya agar ianya berterusan dari satu generasi ke satu generasi.
Sekian…
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2022
#togetherwecare
#kitajagakita
#staysafe
DATU HAJI JUNAIDI BIN HAJI REDUAN
DATUK BANDAR KUCHING UTARA |