|

PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2026
DATO HAJI HILMY BIN HAJI OTHMAN
DATUK BANDAR KUCHING UTARA
Salam Sejahtera dan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga Bandaraya Kuching Utara yang saya kasihi dan hormati.
Pada kesempatan yang penuh bermakna ini, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga bandaraya Kuching Utara. Semoga tahun 2026 membawa kesejahteraan, kesihatan, dan kejayaan kepada kita semua.
Dengan penuh rasa hormat, saya mewakili Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak, atas visi kepimpinan, kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada pihak DBKU dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Pastinya DBKU akan terus komited menyokong visi YAB Premier untuk menjadikan Sarawak, khususnya Kuching Utara, sebuah bandaraya yang mampan, inklusif, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Di bawah kepimpinan YAB Premier, pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan, merangkumi aspek infrastruktur, digitalisasi, ekonomi hijau, sosial, dan pendidikan. Langkah-langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, tetapi juga menjadikan Kuching Utara sebuah bandaraya yang progresif, berdaya saing, dan mesra rakyat.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Timbalan Menteri, serta Yang Berhormat ADUN dan Ahli Parlimen di kawasan pentadbiran DBKU atas sumbangan dan kerjasama yang berterusan. Sokongan mereka amat penting dalam memastikan pelaksanaan projek-projek strategik berjalan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Pelbagai projek pembangunan kini menekankan inovasi, digitalisasi, dan kelestarian alam sekitar. Inisiatif ini bukan sahaja memantapkan infrastruktur bandar, malah memperkukuh peluang ekonomi, mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat, dan memperkukuh imej Kuching Utara sebagai sebuah bandaraya moden, pintar, dan mampan.
Tahun 2026 membuka lembaran baharu bagi kita semua, dan kita terus bertekad untuk menjadikan bandaraya Kuching sebagai sebuah bandar yang mampan, berdaya saing, dan selesa untuk didiami oleh seluruh warganya.
Di bawah PCDS 2030, DBKU akan menekankan pembangunan infrastruktur moden, meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, serta mendorong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan lestari. Kita juga akan terus memperkukuh inisiatif digital dan ekonomi hijau sebagai tumpuan utama untuk menjadikan bandaraya ini lebih inovatif dan responsif terhadap cabaran masa depan.
Selain itu, kelestarian alam sekitar tetap menjadi keutamaan dalam setiap langkah pembangunan. DBKU komited memastikan setiap projek pembangunan selaras dengan prinsip pembangunan mampan demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Tahun 2025 telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang membanggakan, dan pada tahun 2026 ini, kita berazam untuk melonjakkan lagi prestasi Dewan Bandaraya Kuching Utara. Kita mahu bandaraya kita menjadi sebuah pusat yang bukan sahaja selesa didiami, tetapi juga kompetitif di peringkat nasional dan global, selari dengan aspirasi digital dan ekonomi hijau.
Sebagai Datuk Bandar, saya menegaskan bahawa kejayaan ini memerlukan sokongan padu daripada seluruh warga bandaraya Kuching Utara. Kita perlu bergerak bersama sebagai satu komuniti yang bersatu padu, kreatif, dan berinovasi.
DBKU juga akan terus mengutamakan pembangunan bandar mesra kanak-kanak dan warga emas, meningkatkan kemudahan awam yang berkualiti, dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
AKHIR KATA, saya mewakili Dewan Bandaraya Kuching Utara ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas sokongan berterusan yang membolehkan Kuching Utara terus membangun dengan pesat.
DAN setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga bandaraya Kuching yang sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan DBKU. Marilah kita bersama-sama menyambut tahun 2026 dengan semangat baharu dan komitmen untuk memacu bandaraya kita ke arah kecemerlangan, kemampanan, dan kesejahteraan yang lebih seimbang untuk semua
Semoga tahun 2026 menjadi titik permulaan kepada usaha-usaha yang lebih besar, di mana setiap warga bandaraya Kuching Utara dapat bersama-sama menjayakan visi menjadikan bandaraya kita lebih BERSIH, CANTIK, SELAMAT, PINTAR, DAN LESTARI.
Terima kasih diucapkan kepada seluruh Warga Bandaraya Kuching atas sokongan padu dan kerjasama berterusan kepada DBKU. Marilah kita melangkah ke tahun 2026 dengan semangat baharu, penuh dedikasi dan komitmen untuk membangunkan bandaraya tercinta kita.
SEKIAN,
WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH, WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
TERIMA KASIH.
|