KUCHING, 11 Dis: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi musim tengkujuh susulan risiko hujan lebat dan air pasang besar di kawasan bandar raya.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, segala persiapan termasuk penyelenggaraan parit, pemeriksaan struktur longkang dan penyelarasan logistik dilaksanakan lebih awal bersama agensi berkaitan.
“Pihak dewan bandaraya mengarah kakitangan untuk memastikan sistem pemparitan di kawasan DBKU diselenggara lebih awal seperti di kawasan Padang Merdeka” katanya pada sidang media di Depo DBKU hari ini.
DBKU turut memaklumkan kejadian banjir di beberapa kawasan termasuk Sungai Batu dan Sungai Midin semalam berjaya dikawal dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka hanya beroperasi selama sehari berikutan paras air menurun.
Sebanyak 56 PPS dikenal pasti di bawah pentadbiran DBKU, dengan purata kapasiti 150 hingga 200 orang setiap satu, membolehkan sehingga 12,000 mangsa ditempatkan serentak sekiranya berlaku banjir besar.
Antara kawasan tumpuan termasuk Kampung Kudei Baru, Bintawa, Jalan Hospital, Gita Laut, Pinang Jawa, Buntal, Semerah Padi, Tupong Ulu, Tupong Jaya dan RPR Tunku Fasa 2.
DBKU turut melaksanakan penambahbaikan sistem perparitan di beberapa lokasi termasuk Metrocity dan Taman Won membabitkan peruntukan lebih RM2 juta.
Pada masa sama, Pusat Khidmat 24 Jam (PK24J) DBKU kini bersedia dengan kemudahan pemantauan melalui 80 unit kamera litar tertutup (CCTV), Unit Bantu serta Unit Ronda PKU bagi memastikan tindak balas cepat sekiranya berlaku kecemasan.
Keupayaan logistik turut diperkukuh melalui aset seperti backhoe loader, trak logistik, bot penyelamat, high mast lighting, jaket keselamatan dan pembekal kuasa mudah alih untuk digunakan jika berlaku gangguan elektrik.
“Setakat ini, tiada insiden bencana dalam kategori memudaratkan. Namun semua agensi telah digerakkan untuk kesiapsiagaan penuh. Kita mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” ujar Hilmy.
DBKU turut menasihatkan penduduk agar mengelakkan kawasan rendah ketika hujan lebat, mematuhi amaran cuaca dan menghubungi talian rasmi DBKU sekiranya berlaku kecemasan.
Secara keseluruhan, kesiapsiagaan itu mencerminkan komitmen DBKU sebagai pihak berkuasa tempatan yang proaktif dalam memastikan keselamatan masyarakat sepanjang musim tengkujuh.