Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

Commission of the City of Kuching North
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 79
total visitor Total Visitors 12,195,718
Kenya terus juara, Malaysia catat kemajuan positif di Kuching Marathon
Posted on : 22 Sep 2025  Source of News: Suara Sarawak
 
Hilmy bersama para pemenang Kuching Marathon bagi semua kategori. (RAMIDI SUBARI)

KUCHING: Walaupun pelari Kenya terus mendominasi kedudukan podium utama, pelari tempatan mula menampilkan kebolehan mereka dalam edisi ke-10 Kuching Marathon 2025 yang berlangsung meriah di Padang Merdeka, hari ini.

Kategori lelaki terbuka sejauh 42 kilometer menyaksikan enam pelari Kenya menyapu bersih kedudukan pertama hingga keenam, dengan gelaran juara disandang David Rono selepas mencatat masa 2 jam 26 minit 21 saat.

Namun, pencapaian membanggakan hadir daripada pelari tempatan apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik melalui kedudukan ketujuh hingga kesepuluh.

Kedudukan ini menjadi petanda positif bahawa pelari negara mampu memberikan saingan lebih sengit pada masa akan datang.

Bagi kategori wanita terbuka pula, hanya seorang wakil antarabangsa berjaya menembusi podium iaitu Abigael Jerop dari Kenya dengan catatan 3 jam 15 minit 19 saat, manakala kedudukan kedua hingga kesepuluh semuanya menjadi milik pelari tempatan.

Kejayaan ini dianggap sebagai perkembangan baik kerana menunjukkan kemampuan pelari wanita negara menguasai sebahagian besar senarai 10 terbaik, sekali gus mengangkat martabat atlet tempatan di pentas antarabangsa.

Selain itu, hadiah khas turut disampaikan kepada pelari tempatan yang muncul tiga terbaik masing-masing dalam kategori Veteran dan Nasional, lelaki serta wanita, sebagai penghargaan terhadap ketahanan dan semangat juang mereka.

Ramai pelari tempatan berkongsi rasa bangga kerana dapat bersaing dengan jaguh antarabangsa, malah ada yang berazam untuk kembali lebih kuat pada edisi seterusnya.

Majlis penyampaian hadiah bagi semua kategori termasuk acara separuh marathon (21 km) dan larian 10 km telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Hilmy Othman.

Kuching Marathon 2025 menutup tirainya dengan catatan penyertaan sekitar 14,000 peserta tempatan dan antarabangsa, menjadikannya antara acara marathon terbesar di rantau ini serta platform penting mengetengahkan bakat pelari tempatan yang semakin menyerlah.