|
Jambatan ikonik Kuching disinari cahaya emas, sokongan buat pejuang kanser kanak-kanak |
Posted on : 22 Sep 2025 Source of News: TVS
|
Bandaraya Kuching diterangi cahaya kuning keemasan apabila dua mercu tanda ikonik, Jambatan Darul Hana dan Jambatan Satok disinari sebagai simbol sokongan sempena program Light It Up Walk malam tadi. Foto DBKU
KUCHING, 21 Sept: Bandaraya Kuching diterangi cahaya kuning keemasan apabila dua mercu tanda ikonik, Jambatan Darul Hana dan Jambatan Satok disinari sebagai simbol sokongan sempena program Light It Up Walk malam tadi.
Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak yang disambut setiap September.
Menurut DBKU dalam kenyataan, pihaknya sentiasa komited dalam menyokong inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan, kesejahteraan serta kepedulian terhadap golongan yang memerlukan.
“Penganjuran bersama program sebegini adalah bukti kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umum demi kebaikan bersama,” jelas DBKU.
Tambah kenyataan itu lagi, program ini bukan sahaja menyemarakkan suasana bandaraya, malah diharapkan dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus berganding bahu dalam mendukung perjuangan kanak-kanak yang menghidap kanser serta keluarga mereka.
Warna kuning keemasan dipilih kerana membawa makna harapan, kekuatan dan solidariti buat pejuang kecil yang sedang melawan kanser, di samping memberi penghormatan kepada mereka yang telah pergi serta keluarga yang terus tabah berjuang.
Hadir sama memeriahkan program ialah Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah bersama Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur DBKU, Faizal Adenan dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek, selain wakil SCCS.
|
|
|