|
DBKU laksana lampu isyarat pintar |
Posted on : 18 Sep 2025 Source of News: Suara Sarawak
|
DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melaksanakan sistem Lampu Isyarat Pintar atau Smart Traffic Light di beberapa lokasi strategik di kawasan Kuching Utara. Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKU untuk meningkatkan kecekapan pengurusan trafik, mengurangkan kesesakan serta mempertingkatkan keselamatan jalan raya bagi semua pengguna.
Sistem berteknologi tinggi itu dilengkapi pelbagai ciri moden, antaranya Operasi Sistem Lampu Isyarat Adaptif Masa Nyata yang membolehkan lampu isyarat berfungsi secara automatik mengikut keadaan trafik semasa, sekali gus memastikan aliran kenderaan lebih lancar.
Selain itu, ia juga menyokong konsep ‘Pengurangan Masa Perjalanan’ dengan mengurangkan masa menunggu di persimpangan, aliran trafik lebih lancar bagi mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak, serta keselamatan yang dipertingkatkan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal yang mengambil kira keselamatan pengguna jalan yang lebih terdedah.
Antara ciri lain ialah penyelarasan gelombang hijau (penyelarasan lampu isyarat adaptif) yang menyelaras lampu isyarat bagi membolehkan kenderaan bergerak secara berterusan di laluan utama tanpa perlu berhenti berulang kali.
DBKU turut melaksanakan analisis data trafik dan pengambilan data masa nyata bagi mengumpul maklumat yang membolehkan perancangan lebih tepat dan responsif terhadap pola trafik semasa.
Pelaksanaan sistem ini memberi pelbagai manfaat kepada penduduk dan pengguna jalan raya, antaranya ialah penjimatan masa serta bahan api, peningkatan keselesaan pemanduan, pengurangan kadar kemalangan, sokongan terhadap kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon, serta bantuan kepada pihak berkuasa dalam membuat keputusan berasaskan data bagi penambahbaikan jangka panjang.
Justeru, langkah tersebut sejajar dengan visi DBKU untuk menjadikan Kuching sebuah bandar pintar, selesa untuk didiami dan mesra pengguna, selain menyokong aspirasi kerajaan dalam menerapkan teknologi pintar dalam pengurusan bandar.
DBKU menegaskan pihaknya komited untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada warga bandar raya serta sentiasa mengalu-alukan maklum balas orang awam bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
|
|
|