Antara lokasi penutupan jalan pada 16 Ogos termasuk Bulatan Sri Aman / Laluan Keluar dari Jalan Padungan, Susur ke Bulatan Sri Aman dari Jalan Ban Hock, Jalan Abell Utara, Lampu Isyarat Jalan Abell / Jalan Petanak, Jalan Sungai Padungan, Lampu Isyarat Jalan Padungan, Susur ke Jalan Chan Chin Ann dari Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Song Thian Cheok.
Selain itu, Lampu Isyarat Jalan Bukit Mata, Jalan Borneo, Susur ke Jalan Main Bazaar di Lampu Isyarat Jalan Lebuh Wayang /Jalan Main Bazaar, Lampu Isyarat SK St. Mary, Jalan Temple / Jalan Lebuh Wayang / Jalan Wawasan, Susur ke Jalan Tun Abang Haji Openg dari Jalan Main Bazaar / Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan McDougall Susur ke Jalan Tun Abang Haji Openg dari Jalan Satok dan Lampu Isyarat Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga akan ditutup.
Acara tahunan yang bertemakan “Parade of Lights” pada tahun ini akan menampilkan 54 kontijen yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, kejiranan mesra serta institusi pengajian tinggi.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kawalselia Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merangkap Pemangku Pengarah DBKU, Siti Fatimah Jamail, acara tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana bandaraya tetapi juga menjadi simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di wilayah ini.
“Setiap kontijen akan mempersembahkan persembahan masing-masing melalui cahaya, muzik, tarian dan pakaian berwarna-warni yang menggambarkan kepelbagaian budaya rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media Penutupan Jalan Sempena Kuching Street Parade 2025 di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan perarakan akan melalui beberapa jalan utama di pusat bandar, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk hadir lebih awal, di samping mematuhi arahan keselamatan dan kawalan lalu lintas yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Inspektor Penguatkuasaan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching, ASP Jekeng Nyadei berkata, penutupan jalan bermula pada 12 Ogos bagi memberi laluan kepada sesi raptai yang melibatkan Jalan Tun Abang Haji Openg bermula jam 7 petang hingga selesai.
“Ia akan diteruskan pada hari-hari seterusnya, 13 dan 14 Ogos dari jam 6 petang hingga selesai, melibatkan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang, Jalan Temple dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
‘Oleh kerana penutupan jalan pada hari acara berlangsung akan bermula seawal jam 4 petang, orang ramai dinasihatkan untuk merancang laluan alternatif dan berkongsi kenderaan untuk mengurangkan jumlah kenderaan di sekitar Padang Merdeka.
Kuching Street Parade 2025 dijangka bermula pada 7 malam dan bakal dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Untuk makluman, Jambatan Darul Hana serta tempat letak kereta di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak juga akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada hari berkenaan.