KUCHING, 19 Mac: Pelantikan Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merupakan satu pengiktirafan terhadap kredibiliti, bakat serta usaha keras beliau dalam menyuntik pembaharuan dan pemodenan wilayah ini.
Pelantikan beliau diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, selepas Majlis Angkat Sumpah di Astana Negeri Sarawak, semalam.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, menyifatkan pelantikan tersebut sebagai tepat dan strategik, selaras dengan pengalaman serta kepakaran Abdul Rahman.
“Sejak saya memegang jawatan Datuk Bandar pada September 2023, beliau (Abdul Rahman) telah banyak memberikan pandangan serta arahan yang membawa transformasi kepada bandar raya ini, selaras dengan kepimpinan kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau yakin pelantikan tersebut akan mencorak pembangunan wilayah ini secara holistik, merangkumi aspek duniawi dan rohaniah, seiring dengan portfolio baharu yang diamanahkan.
Menurutnya, peranan Abdul Rahman bakal menyumbang kepada pembangunan DBKU secara khusus dan wilayah negeri secara amnya.
“Kami amat berbesar hati dengan pelantikan ini. Ia pasti membawa perubahan positif serta terus memacu pembangunan Kuching Utara ke arah lebih dinamik dan maju.
“Mewakili seluruh warga kerja DBKU, saya menzahirkan ucapan tahniah dan rasa bangga atas pelantikan tersebut.
“DBKU juga komited untuk memastikan segala perancangan pembangunan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan yang seimbang dan menyeluruh akan menjadi keutamaan dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk di Kuching Utara.
“Saya yakin dengan sokongan padu, DBKU akan terus mentadbir Kuching Utara dengan lebih baik serta membawa bandar raya ini ke arah kejayaan yang lebih gemilang,” tambahnya.