|
Hari Kebersihan Sedunia perangi sisa pepejal |
Tarikh : 17 Sep 2022 Sumber Berita: Suara Sarawak
|
KUCHING: Lebih 200 peserta dari pelbagai agensi terlibat dalam program Hari Kebersihan Sedunia 2022 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di sini, hari ini.
Program yang diadakan di Pantai Pasir Panjang itu, bermula jam 7.30 pagi turut disertai pelajar dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, TM Sarawak Hub, Trienekens, Kolej Cosmopoint dan Unitar serta Management and Science University (MSU).
Menerusi program tersebut, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Pantai Pasir Panjang turut diadakan.
Melalui pendekatan ini, ia dapat membantu memerangi masalah sisa pepejal global termasuk serpihan marin.
Ia juga merupakan usaha untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, keselesaan dan kecantikan bandar raya selari dengan hasrat DBKU.
Program tersebut disempurnakan oleh Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang sekali gus menandakan bermulanya program pembersihan di sekitar kawasan sasaran.
Khaidir menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta dari Trienekens.
|
|
|