|
|
|
DBKU pantau IPU, Car Free Morning belum diputuskan |
|
Posted on : 10 Aug 2026 Source of News: TVS
|
Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek ketika ditemui media pada Perkim Sarawak Retro Zumba Aerodance 2026 di Kuching pada Isnin. Foto TVS
KUCHING, 10 Ogos: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan memantau trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga Rabu ini sebelum memutuskan sama ada Kuching Car Free Morning diteruskan, ditangguhkan atau dibatalkan.
Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek berkata, keputusan itu bergantung kepada perkembangan bacaan IPU di Kuching yang meningkat daripada lebih 140 semalam kepada 160 hari ini.
“Menjelang Rabu nanti, kita akan lihat bagaimana trendnya, sama ada meningkat atau menurun.
“Jika trend menunjukkan peningkatan, kita terpaksa membatalkannya. Dukacita, kita terpaksa membatalkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media PERKIM Sarawak Retro Zumba Aerodance 2026 di Kuching, hari ini.
Rudzaimeir menjelaskan, setakat ini pihaknya belum menerima arahan untuk membatalkan program berkenaan dan keputusan hanya akan dibuat selepas mengambil kira trend bacaan IPU.
Menurutnya, Kuching Car Free Morning merupakan antara platform aktiviti komuniti yang inklusif dengan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur, termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Katanya, program itu turut menggalakkan aktiviti fizikal dan gaya hidup sihat selain menjadi wadah mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal di luar, memakai pelitup muka dan memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang tempoh jerebu.
|
|
|