Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

Commission of the City of Kuching North
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 77
total visitor Total Visitors 15,808,473
DBKU dan MBKS perkukuh peranan untuk memacu transformasi Kuching
Posted on : 03 Aug 2026  Source of News: Utusan Borneo
 
Anggota Penguat Kuasa Awam Majlis Bandaraya menaikkan bendera MBKS dan DBKU sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-38 Hari Bandar Raya Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon Anggota Penguat Kuasa Awam Majlis Bandaraya menaikkan bendera MBKS dan DBKU sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-38 Hari Bandar Raya Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus memperkukuh peranan masing-masing untuk memacu transformasi Kuching sebagai bandar raya pintar, mampan dan inklusif selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Pembangunan ibu negeri Sarawak itu kini tidak lagi diukur sekadar pada ketinggian bangunan atau keluasan jalan, sebaliknya diberi penekanan khusus terhadap kualiti hidup, kebolehcapaian, kecerdasan digital serta kemakmuran sosial berteraskan kasih sayang dan daya tahan.

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng menegaskan, pembangunan fizikal perlu seiring dengan kebajikan segenap lapisan masyarakat khususnya warga emas, kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU) serta peniaga kecil demi memastikan kemakmuran jangka panjang.

"Indeks kasih sayang mengingatkan kita untuk siapa pembangunan itu, manakala daya tahan memastikan kemajuan bertahan jangka panjang, kemampanan pula menjamin masa depan tidak dikorbankan," kata Wee.

Beliau berkata, MBKS menyelaras perkhidmatannya berteraskan prinsip '5R' iaitu 'Resident-Centric, Responsive, Reliable, Resourceful dan Resilient'.

"Sebagai perintis Bandar Pintar dan Mampan Malaysia menerusi platform e-bil Service Sarawak dan Sarawak ID, saya amat menekankan bahawa ukuran sebenar bandar pintar terletak pada keberkesanannya menyelesaikan masalah rakyat, mempercepat maklum balas dan mengurus aset dengan cekap," katanya.

Beliau turut menggesa warga kota untuk mengekalkan keharmonian pelbagai kaum dengan berpaksikan semangat 'Segulai Sejalai' sebagai prinsip hidup dan pentadbiran.

Sementara itu, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman memberitahu bahawa DBKU kini bertindak pantas memperkukuh transformasi digital menerusi platform e-DBKU yang merangkumi lampu jalan pintar, lampu isyarat pintar, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan kamera litar tertutup (CCTV).

Usaha berterusan itu membolehkan DBKU meraih Penarafan Bandar Pintar Tahap 1 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kini sedang mempergiat langkah untuk mencapai Tahap 2.

"Visi kami adalah untuk membangunkan bandar raya yang berteraskan rakyat, iaitu bandar yang menggabungkan inovasi, kemampanan dan keprihatinan dalam menyokong aspirasi Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya.

Mengulas lanjut, Hilmy memberitahu DBKU turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi memanfaatkan teknologi angkasa serta data satelit dalam pengurusan bandar, pemantauan alam sekitar, perancangan guna tanah dan pengurusan bencana.

Dari sudut pembangunan komuniti, penubuhan Majlis Komuniti Belia, Kanak-Kanak dan Warga Emas telah membolehkan DBKU diiktiraf sebagai calon Bandar Mesra Kanak-Kanak Sarawak 2026.

DBKU juga ujar Hilmy turut dipilih antara lima bandar perintis dunia bagi 'Projek Healthy Cities and Positive Ageing City 2025-2027' mewakili Malaysia bersama Porti (Georgia), Katowice (Poland), Dali (China) dan Recife di Brazil.

Selain itu, DBKU bertindak sebagai agensi pelaksana Tempat Transit Gelandangan (TTG) Kuching dan menyokong pembinaan Anjung Kasih 2 di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Bagi menyokong rangkaian infrastruktur hijau, DBKU turut membangunkan Galeri dan Taman Buluh seluas 25 ekar di kawasan Jalan Crookshank, Bampfylde Road, Jalan Roadway dan Jalan Taman Budaya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC).

Sejak 1994, DBKU telah meraih 244 pengiktirafan tempatan dan antarabangsa antaranya 'ASEAN Clean Tourist City Award (Filipina), dua anugerah 'LivCom 2025' (Istanbul) serta tiga anugerah 'Public Service Innovation Asia (PSIA) 2026'.

Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyampaikan amanat berkenaan sempena Majlis Perhimpunan Peringatan Hari Bandaraya Kuching Ke-38 di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Sempena sambutan tahun ini, pelbagai acara menarik dianjurkan sepanjang Pesta Kuching 2026 seperti 'Siol International Mountain Bike Challenge', 'Kuching Lights and Floral Festival 2026', 'Kuching International Cat Festival 2026', 'Sarawak Urban Forum 2.0 serta pelbagai program komuniti dan keagamaan.