Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

Commission of the City of Kuching North
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 64
total visitor Total Visitors 14,266,502
Pembinaan tiang bendera gergasi Sarawak guna teknologi lebih canggih
Posted on : 13 Mar 2026  Source of News: TVS
 
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. Foto Awang Azmil (TVS)

KUCHING, 12 Mac: Kos pembinaan tiang bendera gergasi Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi lebih tinggi kerana menggunakan tahap teknologi yang lebih baik dalam pembinaannya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut beliau, kos tersebut bukan sahaja merangkumi tiang bendera, tetapi juga melibatkan pembinaan struktur di sekitar kawasan berkenaan, termasuk Dataran Ibu Pertiwi dan infrastruktur sekelilingnya.

“Pembinaan tiang bendera gergasi di Sarawak melibatkan penggunaan teknologi yang lebih canggih. Kami tidak hanya membina tiang bendera tetapi turut menyediakan mesin khas seperti kren untuk menaikkan bendera gergasi seberat 1 hingga 2 tan.

“Kos ini termasuk juga pembinaan struktur sekitar Dataran Ibu Pertiwi dan Cascading Fountain yang menjadikan kawasan tersebut lebih menarik dan berfungsi sebagai tempat rekreasi,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Jualan Gedung Raya di Juma’ani Pavilion, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perbezaan kos antara pembinaan tiang bendera gergasi Sarawak dan Selangor yang mana kos pembinaan tiang bendera di Sarawak mencecah RM30 juta, jauh lebih tinggi berbanding tiang bendera di Selangor yang menelan belanja RM8.5 juta.

Katanya, sebagai contoh, tiang bendera di Dataran Merdeka menggunakan sistem takal manual, namun Sarawak menggunakan teknologi moden yang melibatkan peralatan dan mesin canggih, sekali gus meningkatkan kos pembinaannya.

“Tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, misalnya, menggunakan ‘pulley’ manual yang lebih murah. Namun, di Sarawak memilih untuk menggunakan teknologi lebih moden yang memerlukan peralatan dan mesin yang lebih mahal,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, kos tambahan tersebut turut merangkumi faktor keselamatan dan keperluan struktur yang lebih kuat, terutamanya bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada Fort Margherita yang terletak berhampiran.

Abdul Rahman juga menjelaskan bahawa pembinaan tiang bendera ini adalah hasil kerjasama dengan syarikat-syarikat minyak besar, termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Shell, yang telah menyediakan bantuan kewangan.

“Kerjasama ini sangat penting kerana ia bukan sahaja melibatkan pembinaan tiang bendera, tetapi juga membangunkan kawasan sekitar yang kini menjadi destinasi penting bagi penduduk Kuching dan pelancong,” ujar beliau.

Selain itu, Abdul Rahman turut menekankan bahawa lokasi Dataran Ibu Pertiwi yang terletak di atas bukit dan berdekatan dengan Fort Margherita memainkan peranan penting dalam kos pembinaan.

“Kedudukan strategik ini, walaupun membawa cabaran dari segi kos tanah dan kestabilan struktur, adalah penting untuk menjadikan tiang bendera ini sebagai simbol kebanggaan Sarawak,” katanya.