
Dr Abdul Rahman (tengah), Hilmy (tiga kanan) bersama yang lain menggaul bubur pedas. -
Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap individu Islam di Sarawak yang sengaja tidak berpuasa setakat hari ke-11 Ramadan tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan tangkapan membabitkan kesalahan tidak berpuasa.
“Setakat ini belum ada sebarang maklumat yang saya terima mengenai tangkapan mereka yang tidak berpuasa.
“Tiada tangkapan maknanya umat kita dalam keadaan yang baik kerana sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk berpuasa.
“Jika ada mereka yang tidak berpuasa atas sebab-sebab tertentu, nasihat kita, jangan makan secara terbuka di tempat orang ramai,” katanya semasa ditemui pemberita pada Program Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra DBKU di Tebingan Sungai BGS, Kampung Sourabaya Ulu di sini hari ini.
Dr Abdul Rahman (dua kanan) bersama Hilmy (kanan) mengagihkan bubur pedas kepada orang ramai di Tebingan Sungai BGS Kampung Sourabaya Ulu. - Gambar Roystein Emmor
Bagaimanapun kata Dr Abdul Rahman, pemantauan tetap dijalankan oleh pihak berkuasa agama dari semasa ke semasa bagi memastikan umat Islam mematuhi tuntutan berpuasa sepanjang Ramadan.
Mengenai isu kebersihan di bazar Ramadan, Dr Abdul Rahman berkata Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, khususnya sebelum dan sepanjang penganjuran.
Menurutnya sebelum bazar beroperasi, pihak DBKU telah memberi penekanan kepada semua peniaga mengenai kepentingan menjaga kebersihan ketika mengendalikan makanan dan selepas tamat operasi setiap hari.
“Kita sudah maklumkan, sisa makanan dan sampah perlu dikumpulkan di tempat yang disediakan bagi memudahkan kerja-kerja kutipan oleh pihak DBKU.
“Jadi kita berharap para peniaga akan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan demi memastikan bazar Ramadan di bawah seliaan DBKU kekal bersih, selesa dan selamat untuk dikunjungi,” katanya.
Terdahulu Dr Abdul Rahman mengagihkan 700 pek bubur pedas, 500 pek bubur lambuk dan 500 biji nanas kepada penduduk di sekitar kawasan BGS (Boyan, Gersik, Sourabaya).
Program yang turut dihadiri Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 20 golongan asnaf bagi membantu meringankan beban mereka dalam bulan Ramadan ini.