DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melancarkan Kalendar Acara 2026 yang merangkumi 36 acara utama sepanjang tahun ini bagi menghidupkan aktiviti bandar dan pelibatan komuniti.
Kalendar Acara 2026 ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Pelbagai program mingguan, bulanan dan acara utama DBKU, termasuk Kuching International X Games yang akan berlangsung pada Februari, Kuching Music Festival pada Mei, Kuching Lights and Floral Festival pada Jun serta Siol International Mountain Bike Challenge pada Julai.
Acara lain yang turut dianjurkan ialah Salak Berselawat pada Ogos, Kuching International Cat Festival pada Oktober serta beberapa acara baharu seperti Kuching International Arts and Crafts Fair, Kuching International Cycle Fest dan Santubong International Trail Run yang masing-masing dijadualkan berlangsung pada September dan Oktober.
Dalam usaha memperkukuh pembudayaan ilmu dan kelestarian bandar, DBKU turut menganjurkan Bulan Membaca pada Mei yang merangkumi pelbagai aktiviti berkaitan pembacaan, selain Bulan Kebersihan pada Julai yang memberi tumpuan kepada amalan kebersihan bandar serta kelestarian alam sekitar.
Pesta Kuching yang berlangsung pada Ogos pula akan dimeriahkan dengan sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-38 pada 1 Ogos, DBKU Mayor’s Run, Ceramah Perdana Bandarayaku, Golf Piala Datuk Bandar, serta beberapa acara lain termasuk Fiesta Perpaduan yang diperkenalkan sebagai acara baharu.
DBKU turut memaklumkan Sarawak Urban Forum 2.0 akan kembali dianjurkan pada Oktober sebagai platform wacana bandar yang menghimpunkan pembuat dasar, pakar perancangan bandar, pengamal industri dan pihak berkepentingan bagi membincangkan isu perbandaran semasa serta hala tuju pembangunan bandar yang mampan, pintar dan berdaya huni.
Pada masa sama, Kuching International Cycle Fest akan menampilkan konsep “tiga dalam satu” yang merangkumi acara ujian masa (time trial), criterium dan perlumbaan jalan raya (road race), sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai acara berbasikal bertaraf antarabangsa.
Kuching International X Games pula akan melalui penambahbaikan menyeluruh menerusi penganjuran selama empat hari yang dijadualkan berlangsung di Tebingan Kuching bagi meningkatkan daya tarikan acara tersebut di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Siol International Mountain Bike Challenge terus mencatat pencapaian membanggakan apabila diiktiraf oleh Union Cycliste Internationale (UCI) sebagai perlumbaan MTB Kelas 1, selain turut disenaraikan dalam Asian MTB Continental Series, iaitu antara siri perlumbaan basikal gunung utama di peringkat antarabangsa.