|
|
|
Datuk Bandar Turun Padang Santuni Mangsa Banjir Sungai Batu |
|
Posted on : 05 Jan 2026 Source of News: Suara Sarawak
|
KUCHING: Banjir yang naik dengan pantas memaksa puluhan penduduk Kampung Sungai Batu meninggalkan kediaman masing-masing demi keselamatan.
Prihatin dengan nasib mangsa, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman turun padang melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Ar Rahman yang menempatkan 65 mangsa daripada 15 keluarga, hari ini.
Dalam suasana serba sederhana di PPS, Hilmy meluangkan masa menyantuni mangsa, mendengar keluhan mereka serta mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung keperluan mendesak yang perlu diberi perhatian segera.
Beliau turut menerima taklimat daripada pihak keselamatan mengenai situasi semasa banjir serta langkah-langkah yang sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terus terpelihara.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sharkawi yang bersama-sama meninjau keadaan PPS dan berinteraksi dengan penduduk terjejas.
Bagi memastikan pengurusan PPS berjalan lancar, seramai 18 petugas daripada pelbagai agensi ditugaskan melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Sarawak serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Batu.
Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan makanan asas menerusi inisiatif DBKU CARES bagi meringankan beban mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
DBKU menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kebajikan serta kesejahteraan warga bandar sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan seperti bencana banjir yang menguji ketabahan penduduk.
|
|
|