|
DBKU ‘Road Race’ 1.0 Diadakan 10 Disember Ini |
Posted on : 08 Dec 2023 Source of News: UKAS
|
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ‘Road Race’ 1.0 akan diadakan pada 10 Disember 2023 bertempat di Dewan Suarah Kuching.
Acara riadah berbasikal ini merupakan kerjasama antara DBKU dan pihak Persatuan Berbasikal Negeri Sarawak (SCA) dalam menjadikan ia sebagai landasan bagi mempromosikan Bandaraya Kuching sebagai tempat yang sesuai untuk penganjuran kejohanan berbasikal Road Race di Sarawak dan Malaysia.
Perlumbaan akan bermula dari Dewan Suarah Kuching dan melalui jalan-jalan di sekitar Bandaraya Kuching, Petra Jaya, Jalan Sultan Tengah, Jalan Lingkaran Samariang, Lebuhraya Pehin Sri Haji Adenan Bin Haji Satem, Jalan Diplomatik, Jalan Bako dan tamat di hadapan Bangunan DBKU.
Pertandingan ini akan menampilkan lima kategori utama iaitu kategori terbuka lelaki yang berumur dari 18 hingga 39 tahun iaitu sepanjang 120 kilometer, kategori ‘Men’s Master A’ bagi umur 40 hingga 49 tahun dan ‘Men’s Master B’ untuk peserta berumur 50 tahun ke atas di mana masing-masing akan berlumba sepanjang 120 kilometer.
Dalam pada itu, kategori terbuka wanita pula akan disediakan kepada peserta yang berumur 13 tahun ke atas manakala kategori belia turut diadakan kepada mereka yang berumur bawah 17 tahun di mana masing-masing akan berlumba sepanjang 60 kilometer.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua pasukan atau individu dan pendaftaran penyertaan hendaklah dibuat di laman web www.dbku.events dengan bayaran sebanyak RM80.
Pembayaran yuran, pengambilan kit perlumbaan dan ‘timing chip’ akan diadakan pada 9 Disember 2023 (Sabtu) jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang di Lobi Majma Mall, Jalan P Ramlee, Kuching. -EDISI UKAS |
|
|