Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 58
total visitor Total Visitors 8,111,867
DBKU teruskan tradisi memasak bubur pedas secara gotong-royong
Posted on : 25 Mar 2024  Source of News: Utusan Borneo
 

Hilmy menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf pada Program Agihan Bubur Pedas KJM Samariang di Surau Darul Falah, Samariang Baru Fasa 3 hari ini. Hilmy menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf pada Program Agihan Bubur Pedas KJM Samariang di Surau Darul Falah, Samariang Baru Fasa 3 hari ini.

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) meneruskan tradisi memasak bubur pedas secara gotong-royong untuk diedarkan kepada penduduk di kawasan Samariang sempena Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman berkata, sebanyak 1,000 bungkus bubur akan diagihkan sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Menurutnya, usaha itu dilakukan menerusi kerjasama Kejiranan Mesra (KJM) N.7 Samariang dengan tujuan menjalin hubungan baik dalam kalangan komuniti serta mengimarahkan bulan Ramadan.

“Kita telah menjayakan program seumpama ini bukan sahaja di kawasan Samariang, tetapi juga di sekitar kawasan Demak Laut dengan kerjasama KJM Bako.

“Semoga dengan usaha kita bersedekah pada bulan mulia ini akan mendapat berkat dan keredaan daripada Allah SWT, selain menjadi platform yang bermakna dalam usaha kita untuk melibatkan banyak penyertaan daripada lapisan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Agihan Bubur Pedas KJM Samariang di Surau Darul Falah, Samariang Baru Fasa 3 di sini, hari ini.

Sementara itu, Hilmy berkata DBKU sentiasa bertungkus-lumus dan bergiat aktif dalam melaksanakan kegiatan amal sejak sebelum Ramadan lagi.

Katanya, pelbagai program telah diadakan termasuk program gotong-royong membersihkan kawasan KJM masing-masing seperti membersihkan kubur, perkarangan masjid dan sebagainya.

“Saya terharu dengan KJM di bawah naungan DBKU kerana aktif beramal kepada masyarakat sebelum Ramadan bermula. 

“Ini merupakan satu kegiatan amal yang mana kita dapat bersama warga kota merapatkan silaturahim dan menjalankan kegiatan bersedekah,” katanya.

Di samping itu, Hilmy berkata DBKU turut mengambil inisiatif membantu rakyat dengan menyediakan tempat untuk kegiatan penjualan sempena bulan Ramadan di tiga lokasi kawasan pentadbirannya.

“Tiga lokasi tapak jualan bazar Ramadan itu ialah di kawasan Satok, Semarak dan Sukma Ria. 

“Bagi tapak bazar Ramadan seperti Kubah Ria, MYDIN Samariang, MYDIN Tunku Vista di Petra Jaya, ia dianjurkan bersama pihak swasta,” katanya.

Terdahulu, program turut menyaksikan penyerahan sebanyak 600 bungkus bubur lambuk oleh pihak Maggi dan penyampaian sumbangan bakul makanan daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) kepada 20 asnaf di sekitar kawasan Samariang.