Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

Commission of the City of Kuching North
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 105
total visitor Total Visitors 8,780,451
Kerja naik taraf Jalan Sultan Tengah ke Damai mula tahun depan
Posted on : 07 Dec 2022  Source of News: Utusan Borneo
 
Abang Johari menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama bagi pertandingan 3K 2022 pada majlis makan malam KJM DBKU. Turut kelihatan, (dari kiri) Junaidi, Dr Abdul Rahman, Dr Hazland dan Mohamed Khaidir. - Gambar Roystein Emmor Abang Johari menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama bagi pertandingan 3K 2022 pada majlis makan malam KJM DBKU. Turut kelihatan, (dari kiri) Junaidi, Dr Abdul Rahman, Dr Hazland dan Mohamed Khaidir. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf jalan raya kepada laluan berkembar dari Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya ke Damai, Santubong akan dimulakan tahun depan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek itu juga akan merangkumi lorong basikal bagi menyediakan ruang khusus untuk penunggang basikal menuju ke Damai.

“Kita akan mempunyai jalan dua laluan antara persimpangan Yayasan Sarawak (bangunan) sehingga ke Damai.

 “Selain itu, kita juga akan mempunyai lorong untuk basikal sehingga Damai. Semua ini akan bermula tahun depan,” katanya pada majlis makan malam Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Utara Kuching (DBKU) di sini, malam Selasa.

Abang Johari memberitahu projek itu adalah antara pembangunan yang akan datang dan berterusan di kawasan di bawah bidang kuasa DBKU.

“Projek lain termasuk penempatan perumahan baharu, menaik taraf infrastruktur untuk mengindahkan kawasan kampung, pembinaan Jambatan Batang Rambungan dan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS di Kampung Trombol di Telaga Air,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari memuji DBKU atas usaha berterusan dalam memupuk hubungan lebih erat antara penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selama ini.

“Melalui KJM DBKU yang ditubuhkan 21 tahun lalu, ia membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam memupuk semangat ‘kampung’.

“Ini seterusnya menghasilkan pembangunan dan penganjuran aktiviti serta program yang bermanfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Berkenaan Program Pagi Tanpa Kenderaan anjuran DBKU, beliau berkata, ia memberi peluang kepada keluarga melakukan aktiviti rekreasi sihat dalam persekitaran yang bebas daripada lalu lintas.

“Terima kasih kepada DBKU kerana mengadakan program ini pada setiap Ahad minggu pertama setiap bulan supaya kita sekeluarga dapat berkumpul untuk berehat dan menikmati aktiviti riadah di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama masyarakat.

“Kalau boleh saya harap program ini dapat diadakan dua kali sebulan,” katanya.

Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada DBKU untuk menjalankan program dan aktivitinya pada 2023 bagi menampung kos tambahan yang diperlukan untuk menganjurkan 363 program yang dirancang oleh KJM pada tahun hadapan.

“KJM pastinya akan mempunyai barisan program tahun hadapan di mana kita juga akan menyambut tahun ke-60 sebagai sebuah negara merdeka dalam Malaysia.

“DBKU mempunyai bajet lebih RM400,000 untuk mengadakan pelbagai program jadi saya akan tambah RM500,000 lagi untuk KJM menganjurkan aktiviti mereka tahun depan,” kata Abang Johari.

Terdahulu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utili) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam ucapannya memohon bantuan tambahan daripada Abang Johari bagi menampung kos tambahan untuk melaksanakan program yang dirancang KJM bagi tahun 2023.

Menurutnya, kos keseluruhan yang diperlukan untuk melaksanakan 363 program itu adalah sebanyak RM900,000, melebihi bajet yang diluluskan sebanyak RM475,000.

Turut hadir, isteri Abang Johari Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang.