Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA

Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya

93050 Kuching Sarawak


dbkuchannel
dbkuflickr
dbkufb
Sarawak mampu capai sasaran tanam 35 juta pokok dalam masa lima tahun
Posted on : 23 Dec 2020  Source of News: Utusan Borneo
 
 Abang Johari bersama Dr Abdul Rahman, Hasidah, Len Talif  pada simbolik Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Abang Johari bersama Dr Abdul Rahman, Hasidah, Len Talif  pada simbolik Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

KUCHING: Sarawak mampu mencapai sasaran menanam 35 juta pokok dalam masa lima tahun - 2021-2025, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sasaran itu kata beliau mampu dicapai menerusi inisiatif berterusan kerajaan negeri iaitu Program Restorasi Hutan di seluruh negeri, juga melibatkan masyarakat setempat.

"Sejak program itu diperkenalkan pada Jun 2019 di Hutan Simpan Sabal Sabal di Simunjan, sehingga kini sebanyak lebih 10.452 juta pokok yang merangkumi 50 spesies telah ditanam.

"Dalam masa lima tahun, kita mampu mencapai 35 juta pokok dan ia lebih-lebih lagi memang sudah menjadi program kerajaan negeri untuk terus menghijaukan kawasan di seluruh Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan simbolik Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok peringkat negeri yang turut dihadiri Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di sini, hari ini.

Hadir sama majlis Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad dan Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.

Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu bermula tahun 2021 hingga 2025. 

Katanya, secara purata, setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang, sebanyak 7 juta pokok akan di tanam di seluruh negeri ini.

Abang Johari berkata bagaimanapun untuk menjayakan program penghijauan ini di masa hadapan, beliau menyeru supaya lebih ramai masyarakat tempatan akan terlibat secara aktif dalam program berkenaan.

"Ia terutamanya dalam menubuhkan tapak semaian bagi membekalkan anak benih pokok tempatan yang komersial dan atau menyediakan perkhidmatan penanaman dan rawatan silvikultur," katanya.

Beliau memberitahu kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan yang padu untuk melaksanakan kempen penanaman pokok melalui Program Restorasi Landskap Hutan dan menjadikan ia sebagai Agenda Utama untuk menghijaukan Sarawak.

"Negeri kita dipayungi oleh kawasan berhutan seluas 7.9 hektar atau 63 peratus daripada keluasan negeri ini.

"Kerajaan negeri mempunyai peluang amat cerah untuk meneroka sumber pendapatan baharu iaitu perdagangan karbon dan sekiranya program ini dapat direalisasikan pada masa akan datang, Sarawak dapat mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti pembalakan dan industri perkayuan sebagai sumber pendapatan," katanya.

Mengenai program penanaman pokok belian yang turut diadakan pada majlis berkenaan oleh DBKU, Abang Johari berkata, Sarawak telah menanam pokok belian yang telah diisytiharkan sebagai pokok warisan negeri Sarawak.

"Dengan itu, kerajaan negeri telah bercadang mewujudkan sekurang-kurangnya keluasan satu hektar di kawasan Bukit Siol DBKU sebagai Taman Dirian Pokok Belian yang moden dan terancang di kawasan ini," katanya.