Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA

Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya

93050 Kuching Sarawak


dbkuchannel
dbkuflickr
dbkufb
Siapkan Projek Rakyat ikut jadual
Posted on : 25 Jun 2020  Source of News: Sarawak Voice
 

KUCHING: Pemantauan berterusan dari semasa ke semasa akan dibuat bagi memastikan setiap projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dilaksanakan dengan sempurna dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, antara projek penting yang memerlukan pemantauan berterusan adalah yang melibatkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).

“Kami mahu setiap projek rakyat yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau kemajuan projek RTP dan PPRMS di kawasan Dun Pantai Damai, di sini, kelmarin.

Mengenai PPMRS, Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) memaklumkan, sebanyak empat rumah iaitu masing-masing dua rumah di Kampung Boyan dan di Kampung Pulo Hilir telah dikunjungi.

“Tinjauan ini untuk memastikan rumah yang dibina siap dengan sempurna, melibatkan penggantian atap, dinding, lantai dan bilik air,” ujarnya.

Bagi projek RTP pula katanya, tinjauan bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) melibatkan sistem perparitan yang telah siap dibina dengan sempurna di Kampung Pulo Hilir.

“Projek ini dijangka dapat menyelesaikan masalah air bertakung dan banjir kilat melibatkan beberapa rumah,” jelasnya. Sementara itu jelasnya lagi, kerja-kerja menaik taraf gelanggang sepak takraw di Kampung Pulo Hilir juga akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Kami membawa DBKU untuk melihat rancangan menaik taraf gelanggang yang akan memberikan manfaat kepada belia dan mampu melahirkan pemain sepak takraw yang berkaliber pada masa depan,” katanya.

Pada masa yang sama, Dr Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang membiayai sepenuhnya projek RTP dan PPRMS di kawasannya.