Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 37
total visitor Total Visitors 8,095,906
BK Square tarikan pelancongan baharu
Posted on : 26 Nov 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 Abang Johari (kanan) melakukan simbolik perasmian Fiesta Satok 2018 di Tebingan Sungai Kampung Bintangor Kecil di Kuching semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi RASMI: Abang Johari (kanan) melakukan simbolik perasmian Fiesta Satok 2018 di Tebingan Sungai Kampung Bintangor Kecil di Kuching semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kawasan sekitar Dataran Bintangor Kecil atau BK Square yang terletak di Tebingan Sungai Kampung Bintangor Kecil dekat sini akan diberi nafas baharu untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan baharu.

Bagi tujuan itu, Kerajaan Sarawak menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, telah meluluskan peruntukan berjumlah RM60 juta bagi menaik taraf infrastruktur jalan dan jambatan sedia ada di kawasan tersebut.

Peruntukan besar tersebut katanya, akan digunakan bagi kerja menaik taraf Jalan Ajibah Abol bermula dari Kampung Masjid hingga ke simpang Jalan Haji Mataim dan menaik taraf jambatan di Kampung Bintangor dengan reka bentuk seperti di Putrajaya.

“Tender telah keluar dan kedua-dua projek ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan tempoh pelaksanaan antara 18 hingga 24 bulan dan jambatan ini nanti akan menjadi jambatan ikonik untuk kita di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Fiesta Satok 2018 yang berlangsung di BK Square yang terletak di Tebingan Sungai Kampung Bintangor Kecil di sini semalam.

Berikutan kerja menaik taraf jalan dan jambatan ini yang akan bermula tidak lama lagi, Abang Johari turut meminta kerjasama daripada semua memastikan kelancaran projek sepanjang pelaksanaannya.

Katanya, penduduk akan berdepan dengan sedikit kesulitan sepanjang pelaksanaan projek ini nanti tetapi ia hanyalah untuk tempoh sementara.

Selain menaik taraf jalan dan jambatan, kerajaan katanya juga akan membina sebuah balai polis dan marin bagi menjaga keselamatan penduduk dan pengunjung di sekitar BK Square ini.

Dengan semua kemudahan bakal dibangunkan dan disediakan ini, Abang Johari percaya kawasan BK Square ini akan melengkapi tarikan pelancong sedia ada di sekitar bandar raya ini.

Bercakap mengenai fiesta tersebut, ia merupakan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Kejiranan Mesra N.8 Satok.

Fiesta dua hari pada 24 dan 25 November ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti antaranya ceramah agama, zumba, larian, gerai usahawan, pertandingan memasak, memancing, mewarna dan karaoke.

Selain memperkuatkan semangat kerjasama antara penduduk setempat, fiesta itu juga sebagai platform untuk komuniti menjana pendapatan menerusi aktiviti jualan dan pameran.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan pengerusi penganjur Ahmad Zainuddin.