Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

Commission of the City of Kuching North
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 79
total visitor Total Visitors 13,882,662
Kerajaan sedia memudah cara pembinaan lebih banyak hotel di Kuching: Abdul Karim
Posted on : 12 Feb 2026  Source of News: Utusan Borneo
 
Abdul Karim (tengah) menegaskan sesuatu perkara pada sidang media sambil diapit Timbalannya Datuk Snowdan Lawan (kiri) dan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng. - Gambar Chimon Upon Abdul Karim (tengah) menegaskan sesuatu perkara pada sidang media sambil diapit Timbalannya Datuk Snowdan Lawan (kiri) dan Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia memudah cara pembinaan lebih banyak hotel di Kuching bagi menampung peningkatan ketibaan pelancong.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bagaimanapun berkata sektor swasta perlu memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan baharu.

Beliau berkata pembinaan hotel memerlukan komitmen kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pemain industri.

“Terdapat dua pihak yang perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing. 

“Di pihak kerajaan, kami sentiasa bersedia meluluskan pembinaan hotel lima bintang, empat bintang, tiga bintang mahupun rumah penginapan. Semua ini akan membantu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan tujuh mural sempena ulang tahun ke-100 Padungan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat perancangan untuk menambah bilangan hotel di bandar raya ini susulan peningkatan jumlah pelawat.

Menurut Abdul Karim, kategori pelawat yang berbeza memerlukan jenis penginapan yang berbeza.

“Contohnya, mereka yang datang ke Kuching untuk acara perniagaan biasanya menginap di hotel lima bintang manakala yang datang untuk acara seperti maraton atau bercuti kebiasaannya memilih hotel tiga atau empat bintang,” katanya.

Dengan Sarawak menganjurkan lebih banyak acara, beliau berkata ketibaan pelawat meningkat bukan sahaja dari dalam negeri, malah dari Semenanjung Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara lain.

“Apabila kita menganjurkan banyak acara, lebih ramai pelawat akan datang. Di situlah keperluan hotel perlu dipenuhi,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan tidak boleh membina dan mengendalikan hotel melalui agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Inisiatif ini perlu datang daripada sektor swasta. Kami mahu melihat pendekatan yang lebih agresif daripada penggiat industri hotel untuk membangunkan lebih banyak hotel di Kuching, selari dengan usaha promosi yang kita jalankan,” katanya.

Abdul Karim menambah, promosi pelancongan dilaksanakan berdasarkan unjuran jangka panjang antara lima hingga 10 tahun, bukan sekadar untuk setahun.

“Dengan kemasukan AirBorneo dan pembangunan lain, kita menjangkakan lonjakan besar ketibaan pelawat dalam beberapa tahun akan datang.

“Apabila acara diadakan, kita berharap terdapat bilik penginapan yang mencukupi, disediakan oleh kerajaan dan sektor swasta,” katanya.

Mengenai seni bina warisan, Abdul Karim menyifatkan Gereja St Peter di Padungan sebagai aset pelancongan yang bernilai bagi Kuching.

Katanya, reka bentuk gereja itu unik dan kaya dengan karakter, mencerminkan gaya seni bina yang pernah digunakan pada bangunan gereja lama.

“Jika kita melihat seni bina yang digunakan untuk membina Gereja St Peter, ia sangat kaya.

“Saya percaya Katedral St Thomas dan Katedral St Joseph sebelum ini mempunyai ciri seni bina yang hampir sama sebelum dirobohkan dan dibina semula dengan struktur lebih moden,” katanya.

Menurut beliau, pada masa lalu nilai seni bina sedemikian mungkin tidak dihargai sepenuhnya sehingga menyebabkan reka bentuk lama hilang ditelan zaman.

“Kini, apabila masa berlalu, kita dapat melihat bahawa seni bina seperti ini wajar dipelihara,” katanya sambil menambah, beliau kagum selepas melawat gereja berkenaan dan mendengar penjelasan mengenai reka bentuknya.

Beliau berharap lebih banyak bangunan bercirikan reka bentuk klasik atau warisan tempatan dapat dibina di bandar raya ini.

“Kita juga perlu menerapkan seni bina tempatan seperti cara masyarakat peribumi membina rumah panjang atau orang Melayu membina rumah tradisional dan membawa elemen tersebut ke dalam bandar, sama ada di Kuching atau di tempat lain di Sarawak,” katanya.

Mengenai kemungkinan memperkenalkan pasar malam secara berkala di bandar raya ini, Abdul Karim berkata agensi kementerian hanya berperanan sebagai pemudah cara manakala inisiatif perlu datang daripada pihak berkuasa tempatan.

“Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) perlu mengenal pasti lokasi sesuai yang tidak menimbulkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau mencadangkan Jalan Padungan berpotensi dijadikan jalan pejalan kaki pada hari tertentu seperti Jumaat dan Sabtu atau hujung minggu untuk menganjurkan pasar malam.

“Jika jalan tertentu ditutup, orang ramai akan menyesuaikan diri dan pihak polis tahu cara mengawal serta mengalihkan trafik,” katanya.

Beliau percaya pasar malam mampu menjadi tarikan kuat kepada pelancong dengan mengetengahkan makanan tempatan, kraf tangan dan produk lain.

“Itulah sebabnya saya gemar pasar malam. Kita dapat lihat semasa Festival Kuih Bulan atau Festival Kuching, kawasan itu sentiasa dipenuhi orang ramai,” katanya.