Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

Commission of the City of Kuching North
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 89
total visitor Total Visitors 13,882,683
Agensi kerajaan disaran manfaatkan aset sedia ada untuk taman botani
Posted on : 10 Feb 2026  Source of News: Suara Sarawak
 
Len bercakap pada sidang media. GAMBAR RAMIDI SUBARI

KUCHING: Jabatan dan agensi kerajaan disaran memanfaatkan sepenuhnya kemudahan serta aset sedia ada bagi menyokong pembangunan taman botani sebagai sebahagian usaha memastikan khazanah Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bersedia mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi meneroka kaedah memanfaatkan kemudahan sedia ada setiap agensi untuk pembangunan taman botani.

“SFC bersedia mengadakan perbincangan bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) bagi tujuan itu.

“Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan membangunkan sebuah taman botani berhampiran Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN).

“DBKU telah mempunyai pelan induk yang memperincikan pembahagian kawasan khusus seperti koleksi orkid, buluh serta pelbagai spesies pokok lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Inisiatif Digital dan Hijau SFC di Wisma Lestari, Pejabat Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), di sini, hari ini.

Menurutnya, inisiatif tersebut antara pendekatan strategik untuk memanfaatkan aset sedia ada bagi memastikan khazanah alam Sarawak terus dipelihara demi manfaat generasi akan datang.

“Justeru, saya menggalakkan semua pihak berkepentingan agar berinteraksi dengan SFC bagi meneroka pelaksanaan projek perintis bersama, termasuk dalam aspek pembinaan kapasiti dan tadbir urus, yang mampu menterjemahkan inovasi kepada impak nyata di lapangan,” jelasnya.

Mengulas mengenai rizab alam semula jadi, beliau berkata kawasan Sungai Tapang, yang dahulunya merupakan pusat penyelidikan kayu balak, telah diserahkan kepada SFC.

“Ia diluluskan oleh Kabinet negeri bulan lalu untuk diwartakan sebagai rizab alam semula jadi seluas 7.7 hektar,” jelasnya.

Beliau menambah, kawasan tersebut diwartakan bagi melindungi spesies orkid serta tumbuhan lain yang endemik kepada formasi batu kapur dan batuan di kawasan itu daripada pupus akibat pembangunan di sekitarnya.

“Itulah satu-satunya kawasan yang dapat diselamatkan bagi memastikan spesies yang terdapat di situ terus dipelihara dan tidak lenyap akibat pembangunan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kabinet negeri turut meluluskan pewartaan Rizab Alam Bukit Siol dan Rizab Alam Matang di kawasan berhampiran Sungai Cina.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan strategik Kerajaan Sarawak untuk memastikan ruang hijau terus wujud dan boleh dimanfaatkan oleh orang awam, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun,” jelasnya.