|
|
|
DBKU perkukuh kesiapsiagaan tangani gangguan lampu isyarat |
|
Posted on : 12 Feb 2026 Source of News: TVS
|
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi Bahagian Penguatkuasa dan Keselamatan telah melaksanakan Latihan Emergency Response: Power Breakdown Management. Foto DBKU
KUCHING, 12 Feb: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggotanya menerusi pelaksanaan Latihan Emergency Response: Power Breakdown Management di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Abang Haji Openg, berhadapan Wisma Seberkas, pagi semalam.
Menurut kenyataan DBKU, latihan tahunan itu bertujuan memastikan anggota Warden Trafik sentiasa bersedia dan cekap mengurus situasi kecemasan melibatkan kerosakan lampu isyarat di kawasan pentadbiran Kuching Utara.
Dalam simulasi tersebut, aduan kerosakan diterima pada jam 10.03 pagi dan pasukan Trafik DBKU berjaya tiba di lokasi dalam tempoh lapan minit bagi mengawal aliran trafik serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Latihan berkenaan turut disertai dua anggota Trafik Polis Diraja Malaysia serta kira-kira 10 pegawai Trafik Warden DBKU bersama Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH).
Orang ramai yang mengesan sebarang kerosakan lampu isyarat disaran membuat aduan segera melalui talian 082-446644 bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
|
|
|