Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 

Contact Us :

DEWAN BANDARAYA KUCHING UTARA
Bukit Siol, Jalan Semariang Petra Jaya
93050 Kuching Sarawak

dbkuchannel
dbkufb
DBKU Instagram
online visitor Online Visitors 74
total visitor Total Visitors 7,970,289
Program 'Kuching Car Free Morning' dapat sambutan
Posted on : 16 Jan 2023  Source of News: Suara Sarawak
 

KUCHING: Penganjuran Program Pagi Bebas Kenderaan (Kuching Car Free Morning) terus mendapat sambutan apabila lebih 2,000 peserta membanjiri bandar Kuching, hari ini untuk sama-sama memeriahkan acara larian dan kayuhan basikal.

Program inisiatif hijau ini dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali gus melepaskan peserta larian pada jam 8.30 pagi di Padang Merdeka.

Menurut Abang Johari, penganjuran larian ini sangat baik dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai.

Abang Johari meluangkan masa berbasikal bersama-sama peserta semasa Program ‘Kuching Car Free Morning’ di Padang Merdeka, pagi ini. –  (Japen)

“Ia sangat baik khususnya dari sudut kekeluargaan dalam mengeratkan hubungan satu sama lain… hari kelepasan seperti ini kita dapat membawa keluarga kita bersiar-siar sambil bersenam dengan melakukan pelbagai aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pagi Bebas Kenderaan Bandaraya Kuching dan melepaskan peserta, di Padang Merdeka, di sini, pagi tadi.

Program yang diadakan sejak Januari 2022 ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama bersama pihak agensi kerajaan, swasta dan komuniti sekitar Bandaraya Kuching.

Justeru kata Abang Johari, beliau telah memohon untuk pihak DBKU menambah lagi kekerapan penganjuran program ini.

“Kita minta tambah lagi satu minggu, bermakna dalam satu bulan, minggu pertama dan minggu ketiga kerana hari ini saya nampak sambutan lebih lagi hebat.

“Selain itu, mungkin tempat program ini juga boleh bertukar dalam Bandar Kuching ini seperti di sini (Padang Merdeka) dan mungkin kita buat lagi di sebelah Main Bazaar Waterfront..kita ikutlah, melihat keadaan,” ujarnya.

Manakala bagi Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Mohamed Khaidir Abang, objektif utama program ini diadakan adalah untuk mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida.

Selain itu katanya ia sebagai usaha memberi ruang interaksi sosial kepada warga kota untuk beriadah dan menjaga alam sekitar.

Bagi program ini, ia menyaksikan pelbagai acara dan aktiviti diadakan seperti Fun Ride, Fun Walk, Sukan Rakyat dan Hari Bersama Pelanggan DBKU.

Ia turut menampilkan persembahan khas daripada Skuad Kuching City FC yang bersama-sama memeriahkan acara tersebut.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Turut hadir, Adun Satok Datuk Ibrahim Baki, Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan.